Sunday, April 18, 2010

Pembuangan Bayi Dikalangan Remaja




Isu pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dikalangan remaja kebelakangan ini seolah-olah mendapat perhatian khusus masyarakat termasuk pihak kerajaan. pembangkang dan pertubuhan-pertubuhan NGO. Realitinya, perhatian yang diberikan oleh pihak-pihak berkenaan tidak seperti yang diketengahkan kepada masyarakat. Jika dilihat secara lebih teliti, ia hanyalah gimik semata-mata tanpa ada apa-apa tindakan yang berkesan diambil oleh pihak berkenaan, baik kerajaan mahupun pembangkang.

Satu perkara yang kita perlu sedar ialah, isu pembuangan bayi hanya berlaku di kalangan masyarakat kita yang berbangsa Melayu, berbangsa Islam terutama golongan remaja. Jarang sekali kita mendengar bangsa dan penganut agama melakukan pembuangan bayi.



Berdasarkan sebab-sebab di atas, ia menunjukkan bahawa tiada tindakan yang positif oleh pihak-pihak tersebut. Antaranya;
Pertama, isu pembuangan bayi diambil perhatian khusus dengan pelbagai tindakan diwar-warkan , namun hakikatnya isu penzinaan tidak pula dibanteras. Ini kerana, punca berlakunya pembuangan bayi adalah kerana meningkatnya masalah zina atau seks bebas di kalangan remaja yang masih belum berkahwin.
Kedua, isu pembuangan bayi diambil perhatian dengan pelbagai inisiatif di digerakkan untuk menyelesaikan isu tersebut. Namun realitinya, isu pembunuhan manusia tidak diselesaikan dengan cara Islam yakni melaksanakan hukum Hudud. Sepatutnya pihak kerajaan pusat dan pembangkang duduk semeja bagi membincangkan perlaksanaan hukum Hudud yang menyeluruh dan efektif. Undang-undang Islam di negara kita  sebenarnya masih lagi diketepikan. Dengan kata lain, hanya undang-undang yang dicipta Allah S.W.T sahaja dapat menyelesaikan masalah pembuangan bayi oleh remaja pada hari ini. Islam menggariskan bahawa hukuman bagi penzina terbahagi kepada dua jenis, iaitu samada sudah berkahwin, atau belum berkahwin. Orang yang berkahwin dikenakan hukuman rejam sehingga mati, manakala orang yang belum berkahwin dikenakan sebat sebanyak 100 kali, dan dibuang negeri.

Ketiga, isu pembuangan bayi diambil perhatian serius oleh pihak berkenaan , sedangkan institusi pelacuran masih hidup seolah-olah tiada tindakan secara serius dilakukan bagi menbanteras dan menghapuskan sama sekali kegiatan pelacuran di negara kita.

Bapa-bapa ayam masih lagi beroperasi dan bebas menjalankan “perniagaan anak dara”. Pelacur-pelacur merasa seronok apabila mendapat habuan setiap malam, sedangkan mereka lupa bahawa mereka telah dibinatangkan. Yang menyedihkan, masalah pelacuran turut melibatkan bangsa Melayu yang beragama Islam. 

Sungguh memalukan sekiranya isu pelacuran masih berleluasa sedangkan kita mengiktiraf negara kita sebagai sebuah negara Islam. Boleh dikatakan setiap negeri di negara kita mempunyai pusat pelacuran. Perlu diingat, kegiatan pelacuran adalah antara punca berlakunya isu pembuangan bayi pada hari ini.

Malah, satu kajian oleh pihak asing telah menyiarkan statistik pada 2006 dan ia menunjukkan bahawa Malaysia berada di tangga ke 63 dari bilangan pengidap Aids yang teramai. Secara kasarnya, dikatakan bahawa pengidap Aids di Malaysia berjumlah 52 000 orang. Umum mengetahui bahawa faktor terbesar Aids ialah disebabkan “zina” atau seks bebas.

Jika diperhatikan secara teliti, isu pembuangan bayi ada kaitannya, dengan masalah penzinaan, masalah pelacuran dan tiadanya pelaksanaan undang-undang Islam. Di dalam penulisan kali ini, saya ketengahkan beberapa perkara berkaitan pengharaman buang bayi, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Antara yang boleh dijelaskan di sini ialah Islam mengharamkan zina dengan dalil yang jelas di dalam al Quran and al Hadis antaranya;

1. Allah SWT berfirman didalam surah al-An’am ayat 140 maksudnya;
“Sesungguhnya rugilah orang yang membunuh anak-anak mereka, kerana kebodohan lagi tidak   mengetahui, dan mereka telah mengharamkan apa yang Allah SWT telah rezekikan pada mereka dengan semata-mata mengada-adakan terhadap Allah SWT. Sesungguhnya mereka telah sesat dan tidaklah mendapat petunjuk.”

2. Allah SWT berfirman didalam surah al-Isra’ ayat 32 maksudnya;
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

3. Allah SWT berfirman di dalam Surah al An’am, ayat 151maksudnya;
“Katakanlah: “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.”

Ayat-ayat di atas saling berkaitan di antara satu sama lain. Pada mulanya disebut tentang larangan membunuh anak, kemudian ayat melarang penzinaan, dan disusuli pula dengan larangan membunuh jiwa.
Pertama, dilarang membunuh anak hanya kerana kesempitan hidup atau kemiskinan. Ini bermakna, kita diharamkan membunuh anak kerana masalah kemiskinan hidup, apatah lagi sekiranya membunuh anak tanpa sebab seperti membuang anak.
Kedua, dilarang daripada menghampiri penzinaan samada secara terang-terangan, ataupun secara sembunyi.
Ketiga, dilarang daripada membunuh jiwa samada anak sendiri, atau sesiapa sahaja. Membuang anak adalah satu bentuk pembunuhan yang diharamkan.



4. Dari Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud;

“Daripada Ibnu Mas’ud RA, beliau bertanya kepada Rasulullah SAW : Apakah dosa yang paling besar? Baginda SAW menjawab : Sekiranya kamu menjadikan tuhan yang setanding dengan Allah, sedangkan Dialah yang mencipta kamu. Aku bertanya lagi : Kemudian dosa apa lagi? Baginda SAW menjawab : Sekiranya kamu membunuh anak kamu kerana takut dia berkongsi makanan bersama kamu (kemiskinan). Aku bertanya lagi : Kemudian? Baginda SAW menjawab : Sekiranya kamu berzina dengan jiran kamu.” (Imam Bukhari, Shahih Bukhari bahagian. 13, ms 394 no. 4117)


Jelas di dalam hadis ini berkenaan larangan membunuh anak, dan ia di antara dosa yang besar yang tersenarai. Apatah lagi membunuh anak tanpa sebarang alasan dan anak tersebut hasil daripada penzinaan. Maka, berzina adalah dosa besar, kemudian anak hasil penzinaan tersebut dibuang. Ini juga merupakan dosa yang besar. Maka, terdapat dua dosa besar yang ditanggung oleh penzina yang membuang anaknya.

Kesimpulannya, dapatlah kita fahami bahawa penzinaan akan merosakkan agama, jiwa dan keturunan, sedangkan Islam menjaga perkara-perkara tersebut dengan mengharamkan penzinaan dan menghalalkan perkahwinan serta mengharamkan pembunuhan, melainkan berperang untuk menegakkan kebenaran. Malah, semua pihak termasuk pemerintah dan masyarakat, tanpa mengira fahaman politik, bangsa, dan agama perlulah bersama-sama mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya bagi mengelak isu pembuangan bayi menjadi lebih parah lagi. Tambahan pula, majoriti yang melakukan kesalahan tersebut adalah orang Melayu yang majoritinya menganut agama Islam.

Eloklah semua pihak yang terlibat duduk semeja dan berbincang jalan penyelesaian yang lebih berkesan berkenaan isu tersebut. Tidak ada gunanya kita saling tuduh menuduh siapa yang menjadi sebab musabab kepada imasalah tersebut. Adakah kita mahu berlakunya bencana atau bala musibah sebagai tanda kemurkaan Allah SWT, barulah semua pihak hendak bersatu dan menyelesaikannya secara bersama?? Renung-renungkanlah. 





Tiga Jenis Pandangan Hidup di Kalangan Kaum Muslimin

Sebelum saya menghuraikan berkenaan jenis-jenis pandangan hidup di kalangan kaum Muslimin, baca dan renungkanlah terjemahan surah al-Hadid, ayat ke-20 di bawah;

“Ketahuilah bahawa apa yang dikatakan sebagai kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa bawaan semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurangkan) juga bawaan hidup (yang bertujuan) bermegah-megah diantara kamu (dengan kelebihan kekuatan, bangsa dan keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak (semua itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijua subur)menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (hingga suatu masa tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai (hendaklah diketahui bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia sahaja) dan ada pula keampunan yang besar serta keredhaan dari Allah S.W.T (disediakan bagi orang-orang yangmengutamakan kehidupan akhirat), dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (terjemahan Surah Al-Hadid, ayat-20)   
                                                                                
Dalam surah al-Hadid ayat 20 di atas, Allah S.W.T menggambarkan kehidupan dunia ini dengan perumpamaan yang rendah. Hal ini bukan bererti untuk meremehkan sama sekali kehidupan di dunia ini. Tapi, sebagai satu peringatan kepada manusia agar jangan terlalu menyangkutkan hatinya kepada kenikmatan dunia yang hanya bersifat sementara sahaja. Dalam ayat tadi sekali gus digambarkan pula tentang kenikmatan kehidupan di akhirat kelak bagi orang-orang yang berbuat kebajikan di dunia ini.

Dalam menghadapi kehidupan di dunia ini, terdapat tiga jenis pandangan atau pegangan hidup di kalangan kaum Muslimin.

Pertama: Kaum Muslimin yang menjadikan dunia ini semata-mata sebagai tujuan hidup.
Nafas dan degupan jantungnya yang turun naik setiap hari hanya memikirkan untuk mencari kenikmatan hidup di dunia sahaja. Mereka ghairah mencari kekayaan, kedudukan, kuasa dan lain-lain lagi, seolah-olah semuanya dapat dibawa ke akhirat kelak. Hidupnya hanyalah semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu dan keinginannya yang tidak terbatas. Untuk mencapai maksudnya itu, pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan walaupun terpaksa melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T seperti mencuri, membunuh, rasuah dan sebagainya.

Kedua: Kaum Muslimin yang menjadikan dunia ini sebagai jambatan hidup untuk ke akhirat.
Golongan ini menerima kesenangan dan kenikmatan dunia ini, tetapi hanya sekadar seperlunya sahaja agar fikirannya tenang, kedudukannya teguh dan jasmaninya sihat untuk berbakti kepada Allah S.W.T dan berbuat kebaikan terhadap sesama manusia. Yang menjadi tujuan utamanya ialah menikmati hidup akhirat yang kekal abadi kelak. Namun, perlu diingat bahawa, jangan kita terburu membakar jambatan tersebut kerana kelak arang jambatan itu akan terpalit ke muka kita sendiri.

Ketiga: Kaum Muslimin yang menjadikan dunia ini sebagai penjara hidup.
Bagi golongan ini pula, mereka tidak mahu tahu atau menikmati langsung nikmat yang ada di dunia ini. Seluruh hidupnya semata-mata untuk berbakti dan beramal secara terus menerus. Sehinggakan, mereka ini tidak ada masa langsung untuk bermanja dan bergaul dengan anak isteri masing-masing. Mereka rela hidup melarat di dunia ini yang sudah di anggap seperti penjara. Manusia seperti inilah yang sebenarnya telah mensia-siakan peluang hidupnya yang cuma sekali sahaja.

Dari sikap hidup yang tiga itu, maka pilihan yang tepat bagi seorang mukmin ialah cara hidup yang kedua, iaitu menjadikan dunia ini sebagai jambatan hidup untuk ke akhirat. Golongan kedua ini tidak bersikap bodoh dan jumud terhadap kenikmatan dunia, malah diusahakan agar mendapat hidup yang sempurna, memiliki rumah besar, kenderaan mewah, tanah yang banyak dan lain-lain harta lagi dengan cara yang diredhai Allah S.W.T. Selain itu, mereka juga menggunakan harta yang ada untuk membantu golongon Muslimin lain yang lebih memerlukan. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup umat Islam secara amnya.
Dalam hadis Qudsi, Allah S.W.T telah berfirman kepada dunia;

“Wahai dunia, berkhidmatlah kamu kepada orang-orang yang telah berkhidmat kepada-Ku, dan perhambakanlah orang-orang yang mengabdikan dirinya kepadamu.”                                                 (Diriwayatkan oleh Imam al-Qudha’i)

Namun, perlu diingat bahawa semua nikmat di dunia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita hanyalah sebagai jambatan ataupun batu loncatan untuk menguatkan hati kita dalam berbakti dan beramal agar mendapat makrifah dan keredhaan Allah S.W.T di akhirat kelak.

Untuk itu, jadikanlah dunia ini berlutut kepada kita, dan janga pula kita berlutut kepadanya (menjadi hamba dunia).

Saturday, April 17, 2010

Perpecahan dikalangan umat Islam di Malaysia

Umum mengetahui bahawa Malaysia tidak pernah sunyi daripada sandiwara dan perbalahan politik sama ada antara parti yang memerintah dengan parti pembangkang atau sesama parti sendiri. Rata-rata mereka yang terlibat atau barisan kepimpinan parti akan berkata "inilah demokrasi" atau akan menyifatkannya sebagai "masalah dalaman yang boleh diatasi", walhal masalah tersebut tidak pernah diselesaikan sampai ke hari ini. Namun, kita perlu sedar bahawa kuasa bukan segala-galanya dan orang politik seharusnyalah sedar akan hakikat itu. Jika kuasa yang menjadi rebutan, maka "kuasa" juga yang boleh menjatuhkan seseorang pemimpin.

Islam wajib bersatu, apatah lagi dengan keadaan sekarang di mana umat Islam di tindas dan di diskriminasi di seluruh dunia. Malah, kita banyak menyaksikan kekejaman kaum kafir terhadap umat Islam di serata dunia. Namun, mengapa umat Islam masih tidak mahu insaf dan bersatu padu demi perpaduan umah. Selagi umat Islam berpecah belah dan bermusuhan sesama sendiri, selagi itulah kaum kafir akan mengambil kesempatan menindas umat Islam. Bersatulah wahai umat Islam sebelum kehilangan kuasa politik dan kuasa memerintah di tanah air kita sendiri.

Sedarkah kita bahawa semakin hari, kaum Melayu yang majoritnya beragama Islam sedang menuju kearah kehancuran. Kini kaum lain selain Melayu sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghancurkan sekelimut perpaduan yang masih wujud dalam rumpun melayu ini. Kaum Melayu semakin lemah dan sudah tidak dihormati oleh kaum-kaum bukan melayu. Kaum bukan melayu ini semakin hari semakin berani dan bertambah biadap terhadap kaum melayu. Namun, kita perlu akui bahawa mereka berani bersikap kurang ajar kerana kelemahan kaum melayu sendiri, terutama dari segi perpaduan.

Kaum melayu sudah berpecah dan tidak bersatu. Kelemahan ketara kaum Melayu membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk menekan kaum Melayu. Mereka tahu bahawa kaum Melayu terpaksa tunduk dan akur kepada semua kehendak mereka. Seandainya kaum Melayu bersatu, maka tiada siapa yang boleh menggangu gugat bangsa Melayu. Tidak mustahil satu hari nanti kaum Melayu akan merempat dan menjadi perlarian ditanah air nya sendiri.

Lebih malang lagi, sehingga kini tidak ada nampak usaha-usaha yang jelas sama ada dari kerajaan yang memerintah atau pembangkang untuk menyatukan kaum Melayu. Yang ada cuma dari pihak NGO sahaja. Namun, pihak NGO akan gagal dalam misinya untuk menyatukan kaum Melayu kerana perpecahan Melayu ini hanya berlaku di dalam politik sahaja. Selagi parti-parti politik melayu ini gagal bersatu, selagi itulah Melayu akan menjadi satu bangsa yang lemah. Kaum bukan melayu sudah nampak nyata keperkasaannya. Ini dapat dilihat apabila mereka sudah berani dan lantang menyanggah kedudukan istimewa kaum Melayu. Keberanian mereka ini semata-mata kerana mereka sudah bersatu di dalam salah sebuah parti politik pembangkang di Malaysia.

Persoalannya di sini, mengapa pemimpin-pemimpin Islam tidak mahu menerima hakikat bahawa perpecahan kaum Melayu akan membawa bencana kepada agama dan bangsa? Adakah pemimpin-pemimpin Islam ini sedar bahawa kaum Melayu/Islam sedang berada dalam genggaman kaum bukan melayu? Perpecahan dikalangan kaum Melayu dalam politik sangat merugikan kaum Melayu itu sendiri. Hari ini kita sudah nampak bukti bahawa kaum Melayu sedang dipermainkan oleh kaum bukan melayu. Orang Melayu sudah sanggup melakukan apa saja terhadap kehendak dan perintah bukan Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik dari mereka.

Kaum bukan melayu ini sudah menjadi kaum yang dianggap penting dan sangat disanjung oleh orang Melayu. Maka dengan itu tidak hairanlah jika segala perintah dan kemahuannya terpaksa di akuri oleh kaum melayu. Sedarkah kita bahawa, jika beginilah keadaannya, lambat laun, kaum Melayu akan berada dibawah telapak kaki kaum bukan Melayu. Sepatutnya kaum Melayu itu bersatu dalam sebuah parti untuk menjadikan suara dan pandangan mereka lebih kukuh dan utuh.

Mustahil untuk dikatakan orang Melayu/Islam di Malaysia tidak mengetahui mengapa Palestin boleh dijajah oleh Isreal. Ianya berlaku hanya kerana bangsa Palestin berpecah belah dan tidak sehaluan. Inilah sebabnya mereka menjadi lemah dan setiap hari ramai orang Palestin dibunuh oleh orang Isreal. Situasi yang sama akan berlaku di Malaysia dimana Melayu pasti akan musnah sekiranya kuasa politik Melayu berpecah belah.
Seperkara lagi, perbalahan atau perpecahan dalam Pas dan UMNO, iaitu suara politik utama Melayu, tidak akan mendatangkan faedah kepada orang Melayu sebaliknya hanya akan melemahkan lagi suara politik Melayu. Kita harus akui pada masa ini survival politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Pas.

Oleh itu, kalaulah Pas dan UMNO berpecah belah dan bertelagah sesame sendiri, ia sudah pasti akan menggembirakan puak-puak tertentu yang sememangnya ingin melihat kekuatan politik mana-mana parti yang bertunjangkan orang Melayu menjadi lemah. Melalui cara sedemikian, ia akan mampu meneruskan agenda-agenda mereka bagi membuat tuntutan yang bukan-bukan. Apabila mereka berbuat demikian orang Melayu tidak ada tempat berpaut untuk bersuara kerana UMNO tidak mempunyai kuasa sepenuhnya manakala Pas pula semakin kucar-kacir. Adakah keadaan ini yang dimahukan oleh mereka yang mengaku orang Melayu dan beragama Islam?

Dalam apa juga tindakan politik, kita mestilah berpandangan jauh. Dengan kata lain, kita tidak seharusnya memikirkan generasi Melayu pada hari ini tetapi fikirkanlah tentang masa depan anak cucu kita yang merupakan generasi akan datang yang bakal memimpin negara. Jika masalah perpecahan di kalangan orang Melayu semakin parah, tidak mustahil kuasa politik Melayu menjadi lemah sehingga ia terlepas ke tangan orang lain, dan yang akan menanggung akibatnya di masa akan datang ialah anak cucu kita. Ketika itu, apabila orang Melayu merempat dan hilang kuasa politik, kesengsaraannya akan ditanggung semua anak Melayu tidak kira, mereka itu anak orang Pas atau UMNO.

Justeru itu, berfikirlah dengan matang dan bijak dalam berhadapan dengan isu perbalahan dan perdebatan mengenai usaha menyatupadukan orang Melayu. Tetapi perlu diingat, kita tidak boleh berputus asa dengan mudah. Sebagai orang Melayu dan Islam sudah pasti ada titik persamaan di hati kecil kita yang dijadikan oleh Allah sebagai saudara seagama. Justeru adalah lebih baik kiranya kita mendoakan agar perbalahan pendapat yang tercetus dikalangan parti politik Melayu sekarang dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya tanpa memudaratkan parti itu atau kuasa politik Melayu.

Sebab itulah kenyataan seorang mufti yang memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah perlu diberikan perhatian. Jika diteliti, kenyataan beliau adalah benar kerana pada masa ini orang Melayu seolah-olah menjadi pihak minority kerana apa sahaja yang hendak diketengahkan bagi kebaikan orang Melayu hatta untuk tujuan berunding semeja pun akan dilihat bersikap perkauman, tetapi apabila ada pihak lain beria-ia memperjuangkan hak kaum mereka tidak pula dilihat perkauman.

Perbalahan yang berlaku di kalangan orang Melayu sekarang seolah-olah berada di atas satu pentas menuding jari antara satu sama lain, manakala pihak-pihak lain hanya menjadi penonton dan bertepuk tangan. Inilah situasi yang harus difahami oleh orang Melayu termasuklah kelompok-kelompok tertentu yang terlalu taksub menentang usaha perpaduan Melayu, Perpecahan di kalangan orang Melayu hanya merugikan kita tidak kiralah sama ada perpecahan itu berlaku dalam UMNO atau Pas. Jangan dibuat ukuran semata-mata untuk keuntungan politik semata-mata. Oleh itu, semua orang Melayu perlu membuka minda mereka bagi memikirkan soal ini dengan tenang dan bukannya dipengaruhi oleh sebarang sentimen.

Friday, April 16, 2010

Islam sebagai agama untuk seluruh umat manusia

Tujuan saya menulis kali ini adalah untuk menyedarkan manusia yang lalai, Umat Islam yang jahil dan orang bukan Islam amnya yang memusuhi Islam kerana kurang pengetahuan tentang agama Islam.Diri saya juga masih kurang ilmu pengetahuan tetapi saya akan cuba menyebarkan ilmu pengetahuan saya yang cetek itu untuk kebaikan kita semua. 

Seperti mana yang kita ketahui, agama Islam adalah agama yang benar dan akan kekal menjadi agama yang sebenar-benarnya. Kadangkala timbul persoalan, kenapa orang lain hendak mempelajari agama Islam semata-mata untuk memburuk-burukkannya. Kenapa tidak di cari kebenarannya.Sedangkan, jika difikirkan sebatang jarum pun ada penciptanya,inikan pula manusia yang serba lengkap dengan akal fikiran. Ini bermakna manusia dicipta, dan yang mencipta kita pula di panggil Tuhan. Timbul pula persoalan, siapakah Tuhan (Allah S.W.T). Adakah dia juga seperti kita.Adakah dia memiliki tangan,memiliki badan seperti kita.Jika ada di antara kita berpendapat sebegitu,maka dia memiliki minda yang tertutup  dan jahil agama. Jika ada yang berpendapat kita terjadi dari proses evolusi yang membabitkan monyet, siapa pula yang mencipta monyet itu. Adakah martabat kita sebagai makhluk Allah S.W.T paling sempurna serendah martabat monyet.??

Di dalam Al-Quran ada menyebut tentang cara-cara manusia yang pertama di cipta iaitu Adam. Bahkan di dalam Al-Quran juga menyebut tentang cara-cara kita semua di hidupkan,di lahirkan dan di matikan. Dan pencipta kita itu adalah Allah S.W.T yakni pencipta segala makhluk dan alam. Allah telah menurunkan kitab-kitabnya iaitu Kitab Taurat,Kitab Zabur,Kitab Injil dan Kitab Al-Quran sebagai panduan kepada hamba-Nyavuntuk memimpin manusia ke jalan yang benar. Panduan-panduan ini disampaikan kepada manusia melalui para utusan Allah yakni Rasul-rasul dan nabi-nabi Allah seperti Nabi Ibrahim, Nabi Isa dan Nabi Muhammad S.A.W. Rasul-rasul ini hanyalah utusan Allah.Mereka juga sama seperti kita, cuma yang membezakan kita dari Rasul-rasul adalah, kelebihan darjat dan mukjizat kurniaan Allah dan para Rasul amat taat kepada Allah.

Kandungan Al-Quran adalah lengkap meliputi setiap aspek kehidupan dan di jamin oleh Allah S.W.T, tidak akan mengalami perubahan walau sebaris ayat. Jika difikirkan secara logik akal, sekiranya Al-Quran itu rekaan manusia, bagaimana ia boleh mengetahui sejarah ribuan tahun lampau dan kisah penciptaan manusia. Al-Quran tidak memiliki keraguan didalamnya. Ayat-ayat di dalamnya juga amat tepat dari segi maksud. Utusan Allah yang menerima Kitab Al-Quran pula adalah Nabi Muhammad S.A.W..Nabi Muhammad S.A.W menerima Kitab tersebut melalui perantaraan malaikat tetapi apabila Allah mewajibkan sembahyang kepada Umat Islam,Nabi Muhammad di angkat ke langit untuk menemui Allah.Itu menerangkan bahawa sembahyang amat penting buat umat Islam. Kita sebagai umat Islam mengetahui bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah seorang yang buta huruf yakni, tidak pandai membaca. Namun, kenapa ada orang menuduh beliau yang mereka-reka Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran amat puitis dan bermutu. Adalah mustahil Al-Quran direka oleh manusia yang terhad akal pemikiran dan ilmunya. Tentulah Al-Quran di cipta oleh Allah S.W.T yakni pencipta sekalian alam.

Nabi Muhammad S.A.W memiliki sifat yang mulia. Beliau merupakan seorang pedagang sebelum di lantik menjadi rasul.Baginda juga amat jujur dan baik hati semasa berniaga dan diakui oleh pelanggan-pelanggannya. Bahkan, Bagindamenjalani kehidupannya dengan serba sederhana.Beliau hanya tidur di atas tikar biasa. Sifat sederhana Baginda dalam kehidupan seharian telah di akui oleh sebahagian pembesar pada zaman tersebut. Namun kenapa ada orang yang mengatakan Nabi Muhammad kaya dan sombong. Selain itu, Nabi Muhammad S.A.W telah melaksanakan tugasnya sebagai utusan Allah S.W.T dengan penuh tanggungjawab untuk menyebarkan panduan berguna bagi umat manusia.

Seluruh umat Islam beriman kepada semua nabi-nabi termasuk Nabi Musa,Nabi Isa dan juga Nabi Muhammad sebagai utusan Allah. Bahkan, agama Islam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran.Semua manusia di cipta untuk memakmurkan alam ciptaan Tuhan. Bukan untuk berperang sesama manusia. Apakah pula persepsi atau pandangan agama lain berkenaan tujuan manusia di cipta. Mungkin ada agama yang langsung tidak mempunyai jawapan tentang tujuan manusia di cipta. Namun, seperti yang kita ketahui, Agama Islam meliputi seluruh aspek kehidupan bukan sahaja mengenai amal ibadah kepada Allah malah menerangkan tentang kehidupan di dunia dan juga di akhirat.Seharusnya kita boleh berfikir untuk mencari kebenaran yang sebenar untuk mencapai keredhaan pencipta kita yakni Allah S.W.T.

Dari Blogger 'Merentasi Zaman'

Segenap pujian dan rasa syukur setinggi-tingginya dipanjatkan kepada Allah S.W.T yang mana Dia telah menjadikan agama Islam sebagai agama tunggal yang di iktiraf oleh-Nya. Selawat dan salam ditujukan kepada Nabi Muhammad S.A.W, Rasul pilihan yang diutus sebagai rahmat kepada seluruh alam.

Dalam setiap pergerakan masa, setiap insan yang sudah dilahirkan ke muka bumi ini membawa sifat semulajadi yang tidak dapat dipisahkan dari keinginan dan kemahuan yang tiada hadnya. Kadangkala kita terpaksa menyerah kerana gagal dalam memahami matlamat hidup didunia yang hanya persinggahan sebelum ke dunia akhirat yang kekal abadi.

Firman Allah S.W.T dalam surah Az-Zariyat ayat-56 yang bermaksud;
"Tiadalah Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah kepada-Ku".

Dan ada ketikanya kita berjaya memahami matlamat hidup kita tetapi kita gagal dalam mempertahankannya. Salah satu punca utama adalah kerana pemahaman yang kabur sehingga membawa kita hanyut menyimpang jauh dari tujuan sebenar kita di ciptakan-Nya. Adakah kita lupa dari mana kita berasal, dimana kita berada dan dimana kita akan kembali???

Maka, untuk menjaga diri kita semua supaya tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang gagal dalam memahami tujuan hidup ini, perlulah kita sama-sama bermuhasabah.

Sekiranya di masa hadapan, terdapat kesilapan dalam blog 'Merentasi Zaman' ini, anggaplah ianya kesalahan yang tak disengajakan. Kepada Allah S.W.T jua kita memohon keampunan dan taufik hidayah-Nya.

Wassalamualaikum...

Thursday, April 15, 2010

Sorotan Pengenalan

Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum....

Renungkanlah wahai teman-teman,,

Seorang Hamba Allah berkata:
"Siapa yang menyangka bahawa ia mempunyai wali(penolong) yang lebih hebat dari Allah, bererti dia baru sedikir mengenal Tuhannya. dan siapa yang menyangka bahawa dia mempunyai musuh yang lebih hebat dari dirinya sendiri, bererti baru sedikit dia mengenal dirinya sendiri"