Thursday, April 21, 2011

Ujian Islam

Assalamualaikum W.B.T............

Tolonglah ambil masa 2 minit untuk membaca ini.... kalau lebih dua
minit tu bukan membaca la tu..tapi mengeja.. ;-)
 
Dengan Nama ALLAH yg Maha Pemurah lagi Maha Pengasih...
 Bayangkan benda ini berlaku pada anda.....
 Suatu hari pada masa Sembahyang jumaat yang di hadiri oleh lebih
kurang1,000 jemaah... tiba-tiba masuk dua orang lelaki yang menutupi
seluruh tubuhnyer dgn pakaian hitam.. tak nampak apa cuma dua biji mata and
 membawa mesin gun... lalu salah seorang lelaki tu bertempik "
 "Sesiapa yang sanggup MATI kerana ALLAH sila berdiri di tempat
kamu"
Selepas mendengar amaran lelaki itu maka segeralah bertempiaran
lari para jemaah itu utk menyelamatkan diri.... daripada jumlah yang
1,000 tadi tu hanya tinggal lebih kurang 20 orang sahaja yang masih berdiri di
tempat masing-masing termasuk Pak Iman tu...
Lalaki yang bertempik tadi segera membuka tutup mukanya lalu
melihat ke arah  Pak Imam sambil berkata:
 "Ok Pak Iman, saya dah halau SEMUA yang hipokrit, sekarang bolehlah
Pak Iman mulakan sembahyang Jumaat"....
 Lalu kedua lelaki tersebut berpaling dan meninggalkan jemaah....
Macammana.. adakah anda rasa lawak dgn cerita di atas. selain
terhibur

Anda  fikirlahlah...
  
 " Lawak kan, dari 1,000 org yg mengaku dia Islam hanya 20 yg
betul-betulberiman... "
 " Lawakkan berapa banyak manusia yang mudah lupakan ALLAH bila
 menghadapi  bahaya... kedua lelaki hanya membawa mesin-gun.. dia
tak kata pun nak  bunuh.. tapi generasi skrang.. amat lemah.. baru kena ugut
terus lari lintang pukang.. lupa yg dia tak sembahyang jumaat lagi..."

  "Lawak, ada juga yang agamanya cuma seminggu sahaja.. tu pun bila
time sembahyang jumaat.. tunjuk muka kat org kampung.. ada tu lagi
dashyat setahun 2 kali aje.. bile time sembahyang raya..."
   "Lawakkan, ramai orang percaya kepada gosip dan apa yang di tulis
oleh surat khabar daripada apa yang tercatit dsalam al Quran"
    "Lawak kan, berapa ramai yg percaya dunia hanya sementara, akhirat
 adalah  tempat yang kekal, tapi berlumba-lumba mengejar dunia"
    "Lawak, kita boleh bersembang dgn boyfriend atau girlfriend
berejam-rejam tapi nak berdoa kepada ALLAh alahai.. tak cukup masa..
     Dan lebih lawak lagi, bila kita boleh post banyak thread atau email
yang berunsur lawak jenaka dan lucah kesemua tempat tapi merasa berat
nak berkongsi dan nak hantar artikel2 yang berunsur agama
  
Lawak kan???

    Kenapa gelak? Itu kan realiti.. tapi yg paling lawak sekali.. berapa
orang yang lepas baca benda ni akan sampaikan kat orang lain... berapa
orangyang  akan buka thread ni untuk luangkan masa membaca? berapa
banyak????
 
Wallahualam..

Tuesday, April 19, 2011

Anak Durhaka - Ustaz Dzulkarnain Hamzah


Tiada keredhaan Allah melainkan keredhaan kedua ibubapa. Ada ibubapa menangis kepiluan melihat anak-anak tidak lagi menghormati mereka. Anak yang diharap dapat membela nasib mereka akhirnya musnah, pincang.
Lirik Anak Durhaka - Ustaz Dzulkarnain hamzah

Anak-anak kita umpama duri,
Menikam ulu hati,
Kita melahirkan
Kita membesarkan
Lalu dipertuankan
Bersulam bara
Terkapar dalam anganan kasih sayang

Teruna dara pemudi islam
Sukar diteka wibawa dirinya
Teruna dara pemudi islam
Sukar diteka wibawa dirinya

Hilang diterbangkan oleh taufan zaman
Jauh tersasar dari landasan
Hilang diterbangkan oleh taufan zaman
Jauh tersasar dari landasan

Wahai pemuda pemudi islam
Janganlah leka dengan resam dunia
Nikmat didunia hanya sementara
Yang kekal abadi adalah yang Esa

Si ibu berdoa dengan harapan
Anak yang dilahirkan menjadi insan
Si ibu berdoa dengan harapan
Anak yang dilahirkan menjadi insan
Takdir menentukan putaran alam
Anak derhaka menconteng wajahnya

Wahai pemuda pemudi islam
Janganlah leka dengan resam dunia
Nikmat di dunia hanya sementara
Yang kekal abadi hanyalah yang Esa
Yang kekal abadi hanyalah yang Esa


TALKIN

Assalamualaikum w.b.t

Bissmillahhirahmanirahim.

Maha suci Allah yang maha kuasa lagi kekal tanpa kesudahannya,maha suci Allah yang telah menentukan manusia seluruhnya terpaksa menempuh kematian, supaya dapat dicuba dan diuji siapakah diantara manusia yang telah mengerjakan amal soleh dan membuat kebaikan, maka segala amal bakti dan hasil daripada perkerjaan mereka itu semuanya akan dapat dilihat satu persatu,pada hari yang ditetpkan oleh Allah S.W.T. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, segala sesuatu yang lain daripada Allah S.W.T tetap akan rosak dan binasa kerana Allah yang mengatur segala-galanya dan kepada Allahlah kita semua akan dikembalikan, maka berbahagialah sesiapa juga yang terselamat
dan juga terlepas dari azab api neraka dan seterusnya mendapat balasan nikmat yang berkekalan dalam syurga.adapun nikmat dan keseronokan di dunia semuanya hanyalah untuk sementara waktu sahaja,

Allah S.W.T menjadikan kita semua daripada tanah,maka ke dalam tanah kita akan dimasukkan,dan daripada tanah juga kita akan dikeluarkan semula, Allah S.W.T menghidupkan kita semula kembali supaya menanggung amanah-amanah dan menjalankan kewajipan sebagai hamba Allah,selama mana kita hidup didunia ini,kemudian kita dimatikan oleh Allah dan dimasukan kita kedalam tanah untuk menjadi mangsa dan ulat,makanan-makanan ulat serta cacing-cacing yang tidak mengenal siapa kita,
yang tidak teragak-agak untuk membaham dan memamah jasad kita sehingga berkecai dan hancur segala urat dan daging kita tanpa meninggal sebarang sisa,hinggalah Allah S.W.T perintahkan malaikat israfil meniup sangkakala maka dihidupkan kita semula dengan serentak untuk dibawa kita ke hadapan mahkamah kadirabuljalil.

Disanalah.....disanalah segala amalan pekerjaan kita semasa kita hidup...semasa kita hidup di atas dunia ini akan dihisab samada baik atau pun buruk,semuanya akan dibicarakan untuk dihukum dengan pembalasan yang setimpal atau di beri ganjaran dengan adil dan juga saksama,demi sesungguhnya dengan nama Allah yang maha agung, dan ZAT yang tidak ada bandingan dengan nama rasulnya yang mulia dan atas agama islam yang maha suci, apa yang akan disebutkan disini adalah pekara-pekara yang benar belaka, yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T kepada kita dan amatlah benar segala rasul-rasulnya yang telah menyampaikan janji-janjinya.

Wahai saudaraku si Polan bin si Polan
Semoga Allah kurniakan kesihan belas ke atas saudara.ketahuilah bahawa segala nikmat dan keseronokan dunia telah hilang daripada saudara sekarang ini.saudara telah masuk kesempadan akhirat dan tinggal disini sehingga hari kiamat.Wahai saudaraku janganlah sesekali saudara lupakan pengakuan dan perjanjian kita semasa hidup didunia iaitu kalimah Asshaduallailah hailallahwaasyhhaduanamuhamadurasullah..Apabila datang dua malaikat yang ditugaskan untuk memeriksa saudara dengan perintah Allah. maka janganlah saudara gentar dan takut.kerana mereka juga makhluk Allah sama seperti saudara. Mereka Akan bertanya siapakah tuhan yang saudara sembah? Siapakah nabi saudara? Apakah iktikad dan kepercayaan saudara?dan atas agama apakah saudara hidup dan mati?katakanlah kepada mereka Allah tuhanku yang sebenar-benarnya, bila ditanya lagi maka jawablah AllaH tuhanku yang sebenar-benarnya. bila di tanya bagi kali yang ketiga iaitu kali yang terakhir maka jawablah dengan lidah yang lancar tanpa rasa takut dan gentar Allah tuhan ku, Muhamad rasulullah nabi ku ,islam adalah agamaku, Al-Quran sebagai pedoman dan ikutanku, Baitullah adalah kiblatku,Sembahyang adalah kewajipanku,sekalian orang islam adalah saudara-saudaraku,Ibrahim Al-Khalil adalah bapa bagi agamaku,hidup dan matiku adalah atas kalimah laillahaillahmuhamadurrasulullah.

Ingatlah dan peganglah bersungguh-sungguh kenyataan pesanan ini,ketahuilah bahawa saudara akan berada di alam barzah ini sehingga hari kiamat,tiada siapa yang dapat menolong dan membantu saudara,sekiranya ditanya saudara mengenai Muhamad maka katakanlah bahawa muhamad itu adalah pesuruh dan utusan Allah yang telah menyampaikan kepada kami segala keterangan dan bukti-bukti tentang kewujudan dan kekuasaan Allah, maka kami telah beriman dan menurut ajarannya, jika sekiranya setelah selesai semua soalan yang diajukan,berserahlah diri saudara kepada Allah yang maha ESA yang memiliki arash yang maha besar,

Ketahuilah wahai saudaraku,bahawa sesungguhnya mati itu adalah benar,memasuki liang kubur juga benar,soalan mungkar dan nakir dalam kubur adalah benar,dibangkitkan semula semua manusia untuk diperiksa segala amalannya juga adalah benar,melalui titian sirat,balasan nikmat syurga dan siksa api neraka semuana adalah benar belaka, dan tetap akan berlaku dan bahawasanya hari kiamat tetap akan tiba tanpa syak dan ragu-ragu lagi,maka Allah akan menghidupkan kita semula sekalian manusia,

Wahai saudara,

Selamat tinggal buat selama-lamanya dan kami serahkanlah saudara kepada Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,semoga dicucuri rahmat dan keampunanNYA ke atas saudara,ya Allah yang maha berkuasa,ya Allah yang maha berkuasa, ya Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang,kurnikanlah limpah rahmatMU kepada saudara hambamu ini,ampunkanlah dosa-dosanya dan ampunkanlah dosa-dosa kami.yarrabalalamin.

Wahai saudara,

Ingatlah pesanan yang terakhir,bahawasanya Allah Adalah tuhan kita, islam satu-satunya agama kita dan Muhamad S.A.W. adalah nabi kita.kepada Allah kami berharap supaya memberi perlindungan kepada saudara, mengampuni dosa-dosa dan kesalahan saudara serta memberi ganjaran diatas segala amalan dan kebaikan yang telah saudara lakukan.amin yarabalalamin.AL-FATIHAH.

[Tukar huruf yang digelapkan dan gantikan dengan nama sendiri dan binkan dengan nama ibu kita dan hayati sahajalah jika masa 'kita' pula yang tiba....]

Friday, April 15, 2011

Masalah Keruntuhan Moral Di Kalangan Remaja; Siapa salah? Ibubapa @ Masyarakat @ Remaja

Saya berasa sangat terpanggil untuk mengupas isu berkenaan permasalahan moral di kalangan remaja setelah saban hari dimomokkan dengan pelbagai karenah remaja yang semakin menakutkan di akhbar-akhbar utama negara. Malah dalam khutbah Jumaat yang saya hadiri pada hari ini juga turut mengupas mengenai masalah social remaja. Jujurnya saya mengambil berat dan sensitif dengan hal ehwal remaja lantaran pelbagai faktor. Pertama saya menyedari bahawa saya juga berada di kalangan mereka, sebaya dan kedua saya sekadar ingin membuat gambaran terhadap para pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Sesungguhnya, pada masa akan datang itu bukanlah seabad, atau sealaf yang akan datang, tetapi hanyalah sekitar 10 tahun atau 20 tahun yang akan menjelang.

Kemuncaknya, saya telah dimaklumkan oleh seorang kenalan yang memberitahu bahawa sekolah lama saya sendiri telah termuat di dalam akhbar tempatan lantaran telah berlakunya kes buli di kalangan pelajar di sana.

Sepanjang lima tahun saya menuntut di sekolah tersebut belum pernah berita buli atau salah laku pelajar terpampang di dalam akhbar. Saya menyedari ketika saya menuntut di sana, telah terdapatnya kes salah laku pelajar, tetapi bagi saya kejadian tersebut tidaklah sampai mencederakan pelajar yang terlibat dan masih pada tahap terkawal. Guru-guru juga mengambil pendekatan tegas dan tidak berkompromi terhadap permasalahan ini.

Justeru, apabila kes seperti ini terjadi, perkara tersebut telah menjadi satu indikator kepada saya berkenaan dengan mutu dan nilai akal budi para remaja ketika ini secara mutlak.

Namun, perlu diingatkan terlebih dahulu di sini bahawa seringkali terdapatnya media masa yang begitu banyak tersalah tafsir dan begitu lapar dengan berita-berita sensasi, lebih-lebih lagi perkara yang berlaku di sekolah yang dikatakan bagus dan indah pada pandangan masyarakat sekitar. Bukanlah saya mahu mendabik dada menghamburkan pujian berlebihan menyatakan bekas sekolah saya itu tersangatlah bagus, namun saya percaya bahawa begitulah yang terjadi dan kadangkala kejadian kecil telah sengaja diperbesar-besarkan dan perkara yang salah dan tidak dikaji dengan teliti telah dibetulkan dan seolah-olah benar belaka. Saya menyokong kebebasan bersuara di kalangan masyarakat, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan suara-suara yang kita laungkan itu bersifat benar dan tidak ditokok tambah secara membuta tuli.

Saya amat tertarik untuk mengupas suatu kes yang telah menggemparkan masyarakat nasional iaitu berkenaan kes pergaduhan ala samurai yang berlaku di sebuah sekolah di Manir, Terengganu. Perkara pertama yang bermain di benak pemikiran saya ialah jika dahulu kita menyangka wabak kebejatan moral hanya menyerang remaja di kawasan bandar, kini kita tidak boleh mempunyai mentaliti sebegitu lagi. Remaja yang tinggal di bandar-bandar kecil juga tidak terkecuali dan tidak terlepas, malah ada yang lebih parah. Saya pernah membaca suatu kajian yang membuktikan bahawa kes juvana yang terjadi di kawasan Felda juga ada mengatasi kes di sesetengah kawasan bandar dan ini merupakan suatu petanda yang membimbangkan.

Tidak lama selepas itu kita digemparkan pula dengan kajian oleh seorang pakar kanak-kanak dan remaja daripada Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Dr. Khaidzir Ismail. Hasil kajiannya terhadap 887 pelajar perempuan yang berisiko tinggi di sebuah negeri telah menggoncangkan seluruh lapisan masyarakat. Daripada 887 pelajar, hanya seorang sahaja yang mengaku tidak pernah mengamalkan hubungan seks bebas!

Itu belum lagi dilihat pada pecahan yang melakukan aktiviti lain seperti mengambil minuman beralkohol, menonton video lucah, poteng sekolah dan sebagainya! Seperti biasa, kerajaan di bawah Kementerian Pembanguna Wanita, Keluarga dan Masyarakat cuba memandang enteng dan sunyi terhadap permasalahan ini.

Hasil kajian oleh Dr. Khaidzir Ismail antara lain membuktikan bahawa kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang bermasalah. Saya ternanti-nanti, apakah reaksi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap kajian ini? Adakah kebimbangan mereka setanding atau mengatasi tahap kebimbangan jika anak-anak mereka tidak mendapat keputusan 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau tidak mencapai 10 atau 11 A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Sejujurnya, saya amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga merupakan institusi yang cukup penting dan ampuh dalam melahirkan remaja yang berkualiti dan berjaya. Saya amat menyanjung tinggi terhadap institusi kekeluargaan dan amat percaya bahawa setiap perkara yang membentuk sikap dan diri remaja itu kebanyakannya merupakan acuan ibu bapa mereka. Saya tidak menolak bahawa terdapat juga remaja yang berjaya yang datang daripada keluarga yang bermasalah, benar, tetapi bagi saya lumrahnya mereka hanyalah mewakili sebilangan kecil remaja dan berapa ramaikah remaja yang mampu bertatih menanggung onak, duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya daripada keluarga. Mereka sewajarnya diberi kasih sayang, tunjuk ajar serta model yang terbaik ke arah pembentukan peribadi yang mulia, bukannya dengan cara mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam keluarga.

Saya sangat bersimpati dengan rakan-rakan remaja yang lahir dalam keluarga yang bermasalah. Mereka memiliki potensi, intelektual, bakat, dan sinar yang terang, namun telah dimalapkan oleh permasalahan yang dicipta sendiri oleh kedua ibu bapa mereka. Kelak, saya bimbang bahawa gejala ini akan terus menerus berlarutan pada generasi demi generasi.

Saya memerhatikan bahawa impak sistem pendidikan terhadap nilai akal budi di kalangan remaja masih belum cukup berkesan dan mendalam. Kita menyaksikan bahawa matapelajaran Agama Islam atau Pendidikan Moral merupakan antara matapelajaran wajib dipelajari di sekolah rendah atau menengah, namun kes juvana, rogol, vandalisme dan sebagainya terus menerus meningkat. Bukanlah saya mahu menyatakan bahawa kandungan subjek-subjek tersebut tidak relevan dan tidak selari dengan kehendak semasa. Tidak. Tetapi apa yang sangat membimbangkan saya ialah para pelajar hanya mempelajari subjek-subjek sebegini hanya untuk melengkapkan gred A di dalam sijil peperiksaan mereka.

Saya menyanjung tinggi pelajar yang memperoleh keputusan yang gemilang terbilang di dalam peperiksaan mereka, namun apalah gunanya gred A yang berderet-deret sekiranya nilai-nilai murni, hukum-hakam agama serta perilaku-perilaku bermoral yang diterapkan oleh subjek-subjek tersebut langsung tidak mampu terperap pada diri mereka?

Pokok pangkalnya ialah pada institusi keluarga juga. Pertama, kita menyedari bahawa sudah tercipta budaya kini, masyarakat melakukan transfomasi ke arah mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka. Bagus dan selayaknya pujian perlu dihamburkan kepada mereka. Namun, bagi saya ada sesuatu yang tidak kena jika terjadinya kes anak remaja membunuh diri lantaran gagal melakar kejayaan di dalam peperiksaan. Tekanan berlebihan oleh masyarakat termasuk oleh keluarga mereka sendiri telah membebankan para remaja dan hasilnya, akan lahirlah para remaja yang tidak berjiwa dan hanya menuntut ilmu bagi memperoleh kepentingan-kepentingan yang sementara. Keluarga, atau masyarakat seharusnya memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka untuk membuktikan potensi diri mereka untuk berjaya. Kejayaan tidak hanya tercipta di medan peperiksaan yang menguji sejauh mana kemampuan mengaplikasikan formula dan kemahiran menghafal semata-mata. Malah kejayaan juga perlu diukur melalui pemerkasaan akal dan budi dalam membentuk remaja yang bersahsiah.

Remaja yang memiliki kerohanian yang suci bestari, disusuli dengan kemampuan dan kawalan emosi dan jasadi yang cocok dan seimbang serta dilengkapkan dengan keintelektualan tahap tinggi melangit, merupakan impian peribadi saya dalam melihat generasi seusia saya kelak yang memacu kepimpinan dan kemajuan negara. Saya akan berasa gembira dan berbangga sekiranya Malaysia memiliki sejuta doktor, malah hati saya akan berbunga ria sekiranya Malaysia memiliki sejuta jurutera. Namun pada akhir dan zahirnya, kebanggaan saya itu tidak akan ke mana-mana sekiranya di kiri dan kanan saya terdapat berjuta-juta masyarakat yang rosak peribadinya.

Sekadar memetik kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Tamadun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat."


Tuesday, February 15, 2011

Kisah dan Teladan Untuk dihayati



Seorang ayah berjalan mundar-mandir di lorong hospital, gelisah akan keadaan isterinya yang akan melahirkan anak sulung mereka. setelah beberapa jam ia menunggu, tak jua terdengar tangisan bayi. Tiba-tiba, seorang doktor berjalan tergopoh-gopoh keluar dari ruang persalinan menuju kearahnya. "Bagaimana keadaannya doktor?" tanyanya penuh harap. "Maaf encik , kami sudah berusaha, keadaannya amat kritikal si ibu sudah tak sedarkan diri!" jawab doktor itu. "Jadi bagaimana doktor ... ?" "Kami tak mungkin dan berupaya untuk menyelamatkan keduanya, tapi... masih ada harapan. Kami hanya punya satu pilihan, menyelamatkan si ibu, atau menyelamatkan si bayi Lelaki tersebut kebingungan, dan tak dapat berkata-kata... ... . "Maaf encik, setiap saat amat berharga, tolong cepat untuk membuat pilihan!" desak doktor itu.

Akhirnya, dengan berat hati lelaki itupun berkata dengan nada sayu, "Doktor, saya sangat bingung... Saya serahkan sepenuhnya kepada doktor. Tolong lakukan yang terbaik!" pintanya. Doktor pun bergegas kembali ke ruang persalinan. Nampaknya dia sudah berpengalaman menangani masalah darurat atau kritikal seperti ini. Dan dia tahu apa yang harus dilakukannya. Ini adalah salah satu contoh, bagaimana keyakinan beragama boleh mempengaruhi keputusan disaat genting. 

Seorang doktor beragama kristian/katolik, ia akan berusaha menyelamatkan si anak, dan mengorbankan si ibu. Bagi doktor muslim, ia akan berusaha menyelamatkan si ibu, dan mengorbankan si bayi. memang benar, dua-duanya adalah pilihan yang sukar, tapi itulah jalan terakhir dan muktamat. Mengapa ia boleh berlaku seperti demikian? Dalam ajaran kristian, setiap manusia yang lahir sudah membawa dosa, doktrin ini dikenal dengan "dosa waris" atau "dosa asal". Manusia yang lahir sudah menanggung dosa Nabi Adam dan Hawa untuk menebusnya ia harus mengikuti seorang penyelamat yakni penebus dosa. (Ketua Paderi atau Pope). Doktor Kristian itu akan berjuang sedaya upaya untuk menyelamatkan si anak, agar dia dapat lahir dengan sihat dan selamat walaupun sebaliknya terpaksa mengorbankan si ibu. Doktor berharap, setelah anak itu lahir ia akan mendapat kesempatan untuk dibaptiskan, untuk tujuan menebus dosanya. Jika si anak meninggal sebelum dibaptiskan, anak itu akan masuk neraka. Sebab, dosanya belum sempat ditebus.

Dalam ajaran Islam, setiap manusia yang lahir dalam keadaan fitrah/suci. Doktor muslim akan berjuang menyelamatkan si ibu, kerana dia tidak bimbang yang bayi akan masuk neraka. Dengan terselamatkannya si Ibu, insyaAllah setelah sihat kembali akan dikurniai kekuatan untuk mengandung lagi dan mudah-mudahan mendapatkan ganti yang lebih baik, yang lebih soleh. sedangkan anak yang tak sempat terselamatkan, biarlah ia kembali ke Penciptanya dalam keadaan suci. Mungkin lebih baik sekiranya bayi itu tidak dilahirkan di dunia yang penuh tipu daya ini agar hidupnya kelak tidak menjadi orang yang tersesat. 

Demikianlah, dalam keadaan serba salah lelaki tadi tak sempat untuk memastikan agama doktor tadi. Dan ia sudah berserah sepenuhnya kepada doktor itu. Di dunia ini ada banyak agama dan kepercayaan. Kita akan sering dihadapkan pada pilihan-pilihan yang lebih sukar, dan melibatkan akibat atau natijah yang sangat ditakuti.

Kisah di atas adalah salah satu daripada contohnya. Beruntunglah orang yang selalu diberi jalan untuk mencari Ilmu yang bermanfaat, yang selalu dijadikan pedoman dalam mengambil keputusan dari sekian banyak pilihan yang ada.

Kerana itu saya ingin berpesan kepada saudara-saudaraku kaum muslimin dan muslimat, teruslah mengkaji ilmu-ilmu agama, mudah-mudahan pengetahuan yang kita peroleh akan semakin memantapkan kita dalam memutuskan suatu masalah, dan semoga akan lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT. 

Wednesday, May 5, 2010

Untuk Mengetahui Sesuatu Kebenaran Itu Sememangnya Mudah.Tetapi Untuk Hidup Berteraskan Kebenaran?


Assalamualaikum….,

Seperti yang kita semua sedar, untuk mengetahui sesuatu kebenaran itu sememangnya mudah tetapi untuk hidup berteraskan kebenaran??? Ramai dari kita yang gagal.

Sebelum meneruskan penulisan kali ini,saya ingin berkongsi dengan anda tafsir sebuah surah di dalam Al-Quran, surah Al-Ma’arij.Saya harap anda baca tafsir ini dahulu sebelum meneruskan pembacaan.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Salah seorang (dari kalangan orang-orang kafir Makkah, secara mengejek-ejek) meminta kedatangan azab yang (dijanjikan) akan berlaku,Azab yang disediakan untuk orang-orang yang kafir, yang tidak ada sesiapapun dapat menolak kedatangannya,Dari Allah yang menguasai tempat-tempat turun naik,Yang dilalui oleh malaikat-malaikat dan Jibril ke pusat pemerintahanNya (untuk menerima dan menyempurnakan tugas masing-masing, terutama) pada satu masa yang adalah tempohnya (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) sungguh panjang, (kerana banyak hitungan hisab dan berat soal jawabnya).

Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku),Sedang Kami memandangnya dekat, (tetap akan berlaku),(Iaitu) pada hari langit menjadi seperti tembaga cair,Dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan),Dan sahabat karib tidak bertanyakan hal sahabat karibnya, (kerana tiap-tiap seorang sibuk memikirkan hal keadaannya sendiri),

Padahal masing-masing diberi melihat setengahnya yang lain; (pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri,Dan isteri serta saudaranya,Dan kaum kerabatnya yang melindunginya,Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi - kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya.

Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya,(Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan,Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran),Dan yang mengumpulkan harta kekayaan lalu menyimpannya (dengan tidak membayar zakatnya).

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut);Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah;Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut;Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang,Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya;

Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum,Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta);Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya);Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya,

Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya;Dan mereka yang menjaga kehormatannya,Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela;Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi);Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya;Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan.

Maka apakah yang menyebabkan orang-orang kafir, yang menentangmu (wahai Muhammad) datang berkejaran ke sisimu;(Sambil mereka) berkumpul berpuak-puak di sebelah kanan dan di sebelah kirimu.Patutkah tiap-tiap seorang dari mereka berharap supaya dimasukkan ke dalam Syurga yang penuh nikmat (sedang ia tidak beriman)?

Tidak sekali-kali! (Mereka yang kufur ingkar tidak akan dapat memasukinya). Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka dari apa yang mereka sedia mengetahuinya.Maka Aku bersumpah dengan (kebesaranKu) Tuhan yang menguasai (seluruh alam, meliputi) tempat-tempat terbit (matahari dan bulan bintang) dan tempat-tempat tenggelamnya, - sesungguhnya Kami berkuasa;

(Membinasakan mereka, serta) menggantikan mereka dengan makhluk-makluk yang lebih baik dari mereka; dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan.Oleh itu, biarkanlah mereka (wahai Muhammad) tenggelam dalam kesesatannya dan leka bermain-main (dalam dunianya), sehingga mereka menemui hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan)!

Iaitu hari mereka segera keluar dari kubur masing-masing menuju (ke Padang Mahsyar) dengan keadaan seolah-olah mereka berkejaran ke (tempat) berhala-berhala (yang mereka sembah dahulu),Sambil pandangan mereka tunduk, serta mereka diliputi kehinaan; itulah hari yang telah dijanjikan kepada mereka. 


(terjemahan surrah Al-Ma'aarij ayat 1-44)

Anda tentu sudah baca Surah ini.Saya berdoa kepada Allah SWT agar kita semua ditetapkan iman dan dilindungi dari seksaan api neraka.

Sebenarnya,tujuan saya menulis artikel ini bukan apa. Tetapi,sekadar ingin menasihati diri sendiri dan anda semua. Begini.Melihat kepada tajuk sahaja anda sudah nampak apa yang ingin saya sampaikan.

Untuk mengetahui suatu ilmu/hakikat itu sememangnya mudah.Ramai orang tahu kewujudan syurga dan neraka.Tetapi,berapa ramai yang hidup mereka dilalui berdasarkan pengetahuan itu?Yakni,mereka menjalani kehidupan seolah-olah mengingati bahawa setiap perbuatan kita di dunia ini,pasti akan dihisab di hari akhirat kelak.Berapa ramai dari kita yang membuat sebegitu?

Berapa ramai dari kita yang memperoleh A bagi subjek Pendidikan Agama Islam di sekolah,tetapi masih gagal dalam menjalankan perintah Allah dengan baik?

Sedangkan,kita semua tahu,Neraka itu amat-amatlah perit seksaannya.Kita tahu Allah sahajalah yang menguasai Hari Pembalasan nanti (Hari Kiamat).Yakni,hanya kepada Allah sahajalah kita boleh berharap dalam mengampunkan dosa kita.

Tetapi,kenapa masih ramai yang leka?Cuba anda fikirkan.

"Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.
(Terjemahan Surah as-Saba ayat 13)

Cuba renung ayat di atas.Allah telah memberikan kita pelbagai rezeki dan nikmat untuk kita.Jika dihitung nikmat-nikmat ini,adalah mustahil untuk kita mengiranya.

Dan kita kena ingat,pada Hari Kiamat nanti,setiap perbuatan kita akan dihitung.Contohnya,mari kita ambil nikmat penglihatan (mata) yang dikurniakan Allah.Setiap dari kita akan ditanya apakah yang kita gunakan dengan mata kita ini?Adakah perkara baik?Atau buruk?

Cuba anda fikirkan.Semasa itu tiada sesiapa yang dapat membantu kita.Mata kita turut menjadi saksi kepada perbuatan kita pada masa itu.

Ada disebutkan,orang yang kaya itu lebih lama dihisab dari orang yang miskin.Kerana apa?Kerana hartanya banyak.Rezekinya banyak.Jadi,banyaklah soalan yang ditanya.

Ke manakah harta itu dibelanjakan.Ke arah kebaikan atau untuk memuaskan nafsu sahaja.

Bukanlah digalakkan hidup dalam kemiskinan itu.Dan bukan juga menyuruh kita hidup bermalas-malas.Tetapi apa yang ingin disampaikan adalah,hidup kita ini hendaklah dijalani mengikut perintah Allah SWT.

Mari.Cuba renungkan diri kita setakat ini.

1.  Berapa ramai yang mempunyai ilmu,tetapi gagal melaksanakannya?

2.  Berapa ramai yang tahu melihat aurat perempuan itu haram,tetapi masih selamba menikmatinya?

3.  Berapa ramai yang tahu menangguh-nangguhkan solat itu berdosa,tetapi masih   menangguhkannya hanya untuk satu drama televisyen?

4.  Berapa ramai yang tahu mengumpat itu berdosa,tetapi masih melakukannya?

5.  Berapa ramai yang tahu kekotoran itu kesukaan syaitan,tetapi masih kekal menjadi pengotor?

6.  Berapa ramai yang mengikuti ceramah sampai menangis,tetapi balik sama sahaja kesannya?

7.  Berapa ramai yang menonton siri 
The Arrival yang dikatakan mendedahkan beberapa penipuan pada zaman kini,tetapi masih kekal dalam cara hidup yang sama?

Itulah yang ingin saya sampaikan kepada diri sendiri dan anda semua.Kita ini apabila susah,baru hendak cari Allah.Bila senang,lupa terus.Perkara pertama yang diucap bila dapat rezeki bukan Alhamdulillah.Sebaliknya diucap oleh kita "Sememangnya kejayaan ini akibat usaha aku".Nampak betapa tidak bersyukurnya kita?

Setakat ini sahaja penulisan saya untuk kali ini.Renungkanlah tafsir di atas.

Marilah mulakan mengamalkan ajaran Islam sebenar.Islam itu mudah.Faktor utama kenapa kita tidak mahu mengikuti ajaran Islam sebenar bukan kerana kita ini tidak mengetahuinya atau apa,sebaliknya kerana terlalu sukar untuk kita meninggalkan rutin harian kita yang buruk itu.

Harap anda faham apa yang ingin cuba disampaikan.Setakat mengetahui sesuatu ilmu tidak berguna.Amalan itu yang penting.

Dan sesungguhnya juga manusia yang sering bertaubat itu adalah sebaik-baik manusia.Fikir-fikirkan.
(di petik berdasarkan Penulisan Oleh Umar Zakir Abdul Hamid)

Thursday, April 29, 2010

Mengapa Doa Kita Tidak Makbul


Assalamualaikum....,

Kita sering mengeluh, mengapa sukar benar doa kita dimakbuklan oleh Allah SWT, pada hal kita telah lakukan apa saja demi mengharapkan agar Allah memakbulkannya. Segala yang terbaik telah kita lakukan, Solat wajib, solat sunat, malah kita sering melakukan solat hajat, berdoa disetiap lepas solat namun doa kita masih juga sebelum dimakbulkan.

Namun, sebagaimana yang kita tahu, agama Islam menyuruh penganutnya supaya selalu bermohon kepada Allah swt. Setiap doa yang terbit dari hati yang tulus ikhlas akan diperkenankan oleh Allah Yang Maha Pemurah.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentang aku (Allah) maka (jawablah) bahawa aku ini hampir. Aku memperkenankan doa orang yang memohon apabila dia (sungguh-sungguh) bermohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu, semoga mereka selalu mendapat panduan yang baik.”

Ramai manusia mengeluh bahawa doanya masih belum diperkenankan Tuhan. Setiap pagi dan malam dia menadahkan tangan bermohon kepada Allah tetapi apa yang dimintanya tidak kunjung tiba. Timbul pertanyaan di dalam hatinya : Kenapakah permohonannya itu masih belum dikabulkan Tuhan? Jarang orang yang berusaha untuk melakukan penelitian apakah sebab-sebabnya.

Pada hakikatnya sebab-sebabnya itu banyak terletak pada diri si pemohon itu sendiri. Kerana salah satu syarat yang penting untuk mendapat pengkabulan doa dari Ilahi haruslah doa itu disertai denagn hati yang khusyuk, bukan berdoa hanya di mulut sahaja. Tidak ada ertinya mulut yang kumat kamit sehingga kering tekak tetapi hati menerawang ke alam lain, jiwa tidak khusyuk mengadap Ilahi.

Dalam salah satu hadis dijelaskan bagaimana sifat dan bentuk doa yang diperkenankan Allah.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
“Apabila kamu meminta kepada Allah bermohonlah dalam keadaan kamu yakin sepenuhnya akan dikabulkan Tuhan. Allah tidak memperkenankan doa seorang hamba yang hatinya lalai.”

Dari hadis tersebut, ditegaskan oleh Rasulullah saw supaya setiap orang yang berdoa harus yakin bahawa doanya akan diperkenankan Tuhan sama ada segera atau lambat. Yakin itu akan timbul apabila seluruh jiwa dan raga dipusatkan mengadap Ilahi.

Salah seorang ulama sufi yang terkemuka iaitu Ibrahim Bin Adham yang hidup pada abad kelapan, pernah memberikan huraian tentang sebab-sebab doa seseorang tidak diperkenankan Tuhan. Tatkala berkunjung ke Basrah, beliau menerima pertanyaan dari sebahagian penduduk : Kenapakah nasib kami masih belum berubah, pada hal kami selalu berdoa, sedangkan Allah menjanjikan dalam al-Quran akan memperkenankan doa setiap orang yang bermohon? Ibrahim Bin Adham memberikan jawapan bahawa sebab-sebabnya ada 10 macam, iaitu:

Yang pertama : Kamu tidak menunaikan hak-hak Allah. Kamu kenal Allah tetapi tidak memenuhi hak-haknya. Hak Allah swt yang paling utama ialah untuk disembah. Setiap orang wajib mensyukuri nikmat yang dilimpahkan Allah kepadanya dengan jalan menyembahnya dengan sebenar-benar erti ibadah.Bagaimanakah Tuhan akan memperkenankan doa seseorang hamba kalau Tuhan mengatakan supaya dia berjalan ke kanan tapi masih ditempuhnya jalan ke kiri.

Kedua : Kamu tidak mengamalkan isi al-Quran. Kamu senantiasa membaca al-Quran tapi tidak kamu amalkan isi-isinya. Kitab Suci al-Quran senantiasa dibaca, dilagukan dengan bermacam-macam lagu tetapi isinya tidak dipelajari dan dihayati. Kalau pun ada satu dua ayat yang dapat difahamkan tidak pula diamalkan bahkan kadang-kadang sengaja dilanggar.

Ketiga : Kamu tidak mengamalkan sunnah Rasulullah saw. Kamu selalu mendakwa cinta kepada Rasulullah saw tapi kamu tinggalkan sunnahnya. Rasulullah saw menunjukkan jalan yang lurus tapi tidak sedikit manusia yang memilih jalan yang bengkok. Kadang-kadang ada juga yang katanya mengikuti Sunnah Rasul tapi apa yang dikerjakannya itu bertentangan dengan apa yang dilakukan atau digariskan oleh Rasulullah saw, masih lagi mengikuti perkara-perkara khurafat yang bukan dari al-Quran atau as-Sunnah yang sahih.

Keempat : Kamu patuh kepada syaitan. Kamu sentiasa menyatakan bermusuh dengan syaitan tapi kamu patuhi dia. Syaitan itu adalah musuh manusia yang selalu berusaha menjatuhkan anak Adam ke lembah kehinaan dengan jalan mempengarohi nafsu manusia yang jelik. Dalam pergaulan hidup sehari-hari kebanyakkan manusia berlutut kepada syaitan dengan memperturutkan hawa nafsu yang buruk. Seharusnya manusialah yang menguasai nafsunya dan dengan sikapnya itu dia akan berjaya mengalahkan godaan syaitan.

Kelima : Kamu menerjunkan diri sendiri ke jurang kebinasaan. Kamu selalu berdoa supaya terhindar dari api neraka tapi kamu limparkan dirimu sendiri ke dalamnya. Iaitu kebanyakkan manusia ingin memasuki pintu kebahgiaan tapi sebaliknya dia sendiri seolah-olah mengunci pintu itu. Dia tidak mahu mengerjakan kebajikan tapi selalu bergelumang dengan perbuatan dosa dan maksiat.

Keenam : Ingin masuk Syurga tapi tidak beramal. Iaitu kamu berdoa untuk masuk Syurga tapi kamu sendiri tidak beramal untuknya.

Ketujuh : Sedar akan mati tapi tidak bersiap-siap untuk menghadapinya. Kamu mengatakan bahawa kematian itu pasti datang tapi tidak pula mempersiapkan diri menghadapinya. Kamu mengakui dan insaf bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja sedangkan hidup yang abadi ialah di akhirat kelak, namun demikian kamu tidak mengerjakan amal saleh yang akan menjadi anak kunci membuka pintu kehidupan yang abadi itu.

Kelapan : Kamu melihat cacat orang lain, cacat sendiri tidak nampak. Kamu sibuk memikirkan dan mengurus aib saudara-sudaramu, tapi kamu tidak melihat aib kamu sendiri . Orang yang demikian selalu menuding jari kepada orang lain tapi amat jarang menghadapkan telunjuknya ke dadanya sendiri.

Kesembilan : Kamu mengecap nikmat tetapi tidak bersyukur. Kamu makan nikmat Ilahi tapi kamu tidak bersyukur atas kurnia itu. Sejak kecil manusia menikmati nikmat Ilahi dan beratus-ratus kurniaan yang lainnya tapi tidak berterima kasih, malah kadang-kadang membangkang menunjukkan sikap bongkak dan lupa daratan.

Kesepuluh : Kamu menguburkan jenazah tapi tidak menginsafkan diri. Kamu turut menguburkan orang yang mati tapi kamu sendiri tidak mengambil iktibar dari peristiwa itu. Iaitu kalau ada orang yang meninggal dunia kamu selalu tidak ketinggalan turut menghantar jenazah itu sampai ke kubur, tapi malang sekali jarang kamu mengambil pelajaran dari kejadian itu, bahawa apabila hari ini kita turut menghantar orang ke kubur, mungkin esok lusa kita sendiri akan dihantar orang.

Demikianlah sepuluh sebab doa seseorang tidak diperkenankan Allah menurut butir-butir hikmah Ibrahim bin Adham. Ini seharusnya mengetuk pintu hati setiap mukmin untuk membuat penilaian dan mengenal diri sendiri. Moga-moga Allah menjadikan kita orang-orang mukmin yang melaksanakan kewajipan-kewajipan kita dengan ikhlas dan yakin.

Doa seseorang itu tidak akan dimakbulkan Allah walaupun ia merendah diri serendah-rendahnya (khusyu' dan tawadhu') sewaktu berdoa, serta memuliakan Allah dengan semulia-mulianya, tetapi apabila sebelum berdoa atau sesudahnya dia mengerjakan pekerjaan yang sangat dilarang dan dimurkai Allah.

Di sinilah letaknya rahsia mengapa Allah tidak mengabulkan doa sebahagian besar dari manusia yang berdoa dan di sinilah pula letaknya kenapa Allah selalu mengabulkan doa Rasul dan nabi, para sahabat dan tabi'iin, para wali dan orang soleh lainnya.

Walau apa pun keadaannya kita haruslah sentiasa mengharapkan rahmat Allah.Janganlah kita berputus asa dengan rahmat Nya. Sebagaimana firman Allah dalam surah As Syura ayat 28,
" Jangan engkau berputus asa terhadap Rahmat Allah."