Friday, April 15, 2011

Masalah Keruntuhan Moral Di Kalangan Remaja; Siapa salah? Ibubapa @ Masyarakat @ Remaja

Saya berasa sangat terpanggil untuk mengupas isu berkenaan permasalahan moral di kalangan remaja setelah saban hari dimomokkan dengan pelbagai karenah remaja yang semakin menakutkan di akhbar-akhbar utama negara. Malah dalam khutbah Jumaat yang saya hadiri pada hari ini juga turut mengupas mengenai masalah social remaja. Jujurnya saya mengambil berat dan sensitif dengan hal ehwal remaja lantaran pelbagai faktor. Pertama saya menyedari bahawa saya juga berada di kalangan mereka, sebaya dan kedua saya sekadar ingin membuat gambaran terhadap para pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Sesungguhnya, pada masa akan datang itu bukanlah seabad, atau sealaf yang akan datang, tetapi hanyalah sekitar 10 tahun atau 20 tahun yang akan menjelang.

Kemuncaknya, saya telah dimaklumkan oleh seorang kenalan yang memberitahu bahawa sekolah lama saya sendiri telah termuat di dalam akhbar tempatan lantaran telah berlakunya kes buli di kalangan pelajar di sana.

Sepanjang lima tahun saya menuntut di sekolah tersebut belum pernah berita buli atau salah laku pelajar terpampang di dalam akhbar. Saya menyedari ketika saya menuntut di sana, telah terdapatnya kes salah laku pelajar, tetapi bagi saya kejadian tersebut tidaklah sampai mencederakan pelajar yang terlibat dan masih pada tahap terkawal. Guru-guru juga mengambil pendekatan tegas dan tidak berkompromi terhadap permasalahan ini.

Justeru, apabila kes seperti ini terjadi, perkara tersebut telah menjadi satu indikator kepada saya berkenaan dengan mutu dan nilai akal budi para remaja ketika ini secara mutlak.

Namun, perlu diingatkan terlebih dahulu di sini bahawa seringkali terdapatnya media masa yang begitu banyak tersalah tafsir dan begitu lapar dengan berita-berita sensasi, lebih-lebih lagi perkara yang berlaku di sekolah yang dikatakan bagus dan indah pada pandangan masyarakat sekitar. Bukanlah saya mahu mendabik dada menghamburkan pujian berlebihan menyatakan bekas sekolah saya itu tersangatlah bagus, namun saya percaya bahawa begitulah yang terjadi dan kadangkala kejadian kecil telah sengaja diperbesar-besarkan dan perkara yang salah dan tidak dikaji dengan teliti telah dibetulkan dan seolah-olah benar belaka. Saya menyokong kebebasan bersuara di kalangan masyarakat, namun perkara yang lebih penting ialah memastikan suara-suara yang kita laungkan itu bersifat benar dan tidak ditokok tambah secara membuta tuli.

Saya amat tertarik untuk mengupas suatu kes yang telah menggemparkan masyarakat nasional iaitu berkenaan kes pergaduhan ala samurai yang berlaku di sebuah sekolah di Manir, Terengganu. Perkara pertama yang bermain di benak pemikiran saya ialah jika dahulu kita menyangka wabak kebejatan moral hanya menyerang remaja di kawasan bandar, kini kita tidak boleh mempunyai mentaliti sebegitu lagi. Remaja yang tinggal di bandar-bandar kecil juga tidak terkecuali dan tidak terlepas, malah ada yang lebih parah. Saya pernah membaca suatu kajian yang membuktikan bahawa kes juvana yang terjadi di kawasan Felda juga ada mengatasi kes di sesetengah kawasan bandar dan ini merupakan suatu petanda yang membimbangkan.

Tidak lama selepas itu kita digemparkan pula dengan kajian oleh seorang pakar kanak-kanak dan remaja daripada Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu Dr. Khaidzir Ismail. Hasil kajiannya terhadap 887 pelajar perempuan yang berisiko tinggi di sebuah negeri telah menggoncangkan seluruh lapisan masyarakat. Daripada 887 pelajar, hanya seorang sahaja yang mengaku tidak pernah mengamalkan hubungan seks bebas!

Itu belum lagi dilihat pada pecahan yang melakukan aktiviti lain seperti mengambil minuman beralkohol, menonton video lucah, poteng sekolah dan sebagainya! Seperti biasa, kerajaan di bawah Kementerian Pembanguna Wanita, Keluarga dan Masyarakat cuba memandang enteng dan sunyi terhadap permasalahan ini.

Hasil kajian oleh Dr. Khaidzir Ismail antara lain membuktikan bahawa kebanyakan mereka datang daripada keluarga yang bermasalah. Saya ternanti-nanti, apakah reaksi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) terhadap kajian ini? Adakah kebimbangan mereka setanding atau mengatasi tahap kebimbangan jika anak-anak mereka tidak mendapat keputusan 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) atau tidak mencapai 10 atau 11 A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Sejujurnya, saya amat yakin dan percaya bahawa institusi keluarga merupakan institusi yang cukup penting dan ampuh dalam melahirkan remaja yang berkualiti dan berjaya. Saya amat menyanjung tinggi terhadap institusi kekeluargaan dan amat percaya bahawa setiap perkara yang membentuk sikap dan diri remaja itu kebanyakannya merupakan acuan ibu bapa mereka. Saya tidak menolak bahawa terdapat juga remaja yang berjaya yang datang daripada keluarga yang bermasalah, benar, tetapi bagi saya lumrahnya mereka hanyalah mewakili sebilangan kecil remaja dan berapa ramaikah remaja yang mampu bertatih menanggung onak, duri dan rintangan untuk berjaya? Mereka masih muda, mentah dan masih mendambakan perhatian yang secukupnya daripada keluarga. Mereka sewajarnya diberi kasih sayang, tunjuk ajar serta model yang terbaik ke arah pembentukan peribadi yang mulia, bukannya dengan cara mewujudkan suasana yang tidak sihat di dalam keluarga.

Saya sangat bersimpati dengan rakan-rakan remaja yang lahir dalam keluarga yang bermasalah. Mereka memiliki potensi, intelektual, bakat, dan sinar yang terang, namun telah dimalapkan oleh permasalahan yang dicipta sendiri oleh kedua ibu bapa mereka. Kelak, saya bimbang bahawa gejala ini akan terus menerus berlarutan pada generasi demi generasi.

Saya memerhatikan bahawa impak sistem pendidikan terhadap nilai akal budi di kalangan remaja masih belum cukup berkesan dan mendalam. Kita menyaksikan bahawa matapelajaran Agama Islam atau Pendidikan Moral merupakan antara matapelajaran wajib dipelajari di sekolah rendah atau menengah, namun kes juvana, rogol, vandalisme dan sebagainya terus menerus meningkat. Bukanlah saya mahu menyatakan bahawa kandungan subjek-subjek tersebut tidak relevan dan tidak selari dengan kehendak semasa. Tidak. Tetapi apa yang sangat membimbangkan saya ialah para pelajar hanya mempelajari subjek-subjek sebegini hanya untuk melengkapkan gred A di dalam sijil peperiksaan mereka.

Saya menyanjung tinggi pelajar yang memperoleh keputusan yang gemilang terbilang di dalam peperiksaan mereka, namun apalah gunanya gred A yang berderet-deret sekiranya nilai-nilai murni, hukum-hakam agama serta perilaku-perilaku bermoral yang diterapkan oleh subjek-subjek tersebut langsung tidak mampu terperap pada diri mereka?

Pokok pangkalnya ialah pada institusi keluarga juga. Pertama, kita menyedari bahawa sudah tercipta budaya kini, masyarakat melakukan transfomasi ke arah mementingkan pendidikan terhadap anak-anak mereka. Bagus dan selayaknya pujian perlu dihamburkan kepada mereka. Namun, bagi saya ada sesuatu yang tidak kena jika terjadinya kes anak remaja membunuh diri lantaran gagal melakar kejayaan di dalam peperiksaan. Tekanan berlebihan oleh masyarakat termasuk oleh keluarga mereka sendiri telah membebankan para remaja dan hasilnya, akan lahirlah para remaja yang tidak berjiwa dan hanya menuntut ilmu bagi memperoleh kepentingan-kepentingan yang sementara. Keluarga, atau masyarakat seharusnya memberi lebih banyak peluang kepada anak-anak mereka untuk membuktikan potensi diri mereka untuk berjaya. Kejayaan tidak hanya tercipta di medan peperiksaan yang menguji sejauh mana kemampuan mengaplikasikan formula dan kemahiran menghafal semata-mata. Malah kejayaan juga perlu diukur melalui pemerkasaan akal dan budi dalam membentuk remaja yang bersahsiah.

Remaja yang memiliki kerohanian yang suci bestari, disusuli dengan kemampuan dan kawalan emosi dan jasadi yang cocok dan seimbang serta dilengkapkan dengan keintelektualan tahap tinggi melangit, merupakan impian peribadi saya dalam melihat generasi seusia saya kelak yang memacu kepimpinan dan kemajuan negara. Saya akan berasa gembira dan berbangga sekiranya Malaysia memiliki sejuta doktor, malah hati saya akan berbunga ria sekiranya Malaysia memiliki sejuta jurutera. Namun pada akhir dan zahirnya, kebanggaan saya itu tidak akan ke mana-mana sekiranya di kiri dan kanan saya terdapat berjuta-juta masyarakat yang rosak peribadinya.

Sekadar memetik kata-kata Prof Syed Muhammad Naquib al-Attas, "Tamadun yang sebenarnya ialah keadaan hidup insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat."


No comments:

Post a Comment