Sunday, April 18, 2010

Tiga Jenis Pandangan Hidup di Kalangan Kaum Muslimin

Sebelum saya menghuraikan berkenaan jenis-jenis pandangan hidup di kalangan kaum Muslimin, baca dan renungkanlah terjemahan surah al-Hadid, ayat ke-20 di bawah;

“Ketahuilah bahawa apa yang dikatakan sebagai kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa bawaan semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurangkan) juga bawaan hidup (yang bertujuan) bermegah-megah diantara kamu (dengan kelebihan kekuatan, bangsa dan keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak (semua itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijua subur)menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (hingga suatu masa tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai (hendaklah diketahui bahawa) di akhirat ada azab yang berat (disediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan di dunia sahaja) dan ada pula keampunan yang besar serta keredhaan dari Allah S.W.T (disediakan bagi orang-orang yangmengutamakan kehidupan akhirat), dan ingatlah bahawa kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (terjemahan Surah Al-Hadid, ayat-20)   
                                                                                
Dalam surah al-Hadid ayat 20 di atas, Allah S.W.T menggambarkan kehidupan dunia ini dengan perumpamaan yang rendah. Hal ini bukan bererti untuk meremehkan sama sekali kehidupan di dunia ini. Tapi, sebagai satu peringatan kepada manusia agar jangan terlalu menyangkutkan hatinya kepada kenikmatan dunia yang hanya bersifat sementara sahaja. Dalam ayat tadi sekali gus digambarkan pula tentang kenikmatan kehidupan di akhirat kelak bagi orang-orang yang berbuat kebajikan di dunia ini.

Dalam menghadapi kehidupan di dunia ini, terdapat tiga jenis pandangan atau pegangan hidup di kalangan kaum Muslimin.

Pertama: Kaum Muslimin yang menjadikan dunia ini semata-mata sebagai tujuan hidup.
Nafas dan degupan jantungnya yang turun naik setiap hari hanya memikirkan untuk mencari kenikmatan hidup di dunia sahaja. Mereka ghairah mencari kekayaan, kedudukan, kuasa dan lain-lain lagi, seolah-olah semuanya dapat dibawa ke akhirat kelak. Hidupnya hanyalah semata-mata untuk memuaskan hawa nafsu dan keinginannya yang tidak terbatas. Untuk mencapai maksudnya itu, pelbagai cara dan ikhtiar dilakukan walaupun terpaksa melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T seperti mencuri, membunuh, rasuah dan sebagainya.

Kedua: Kaum Muslimin yang menjadikan dunia ini sebagai jambatan hidup untuk ke akhirat.
Golongan ini menerima kesenangan dan kenikmatan dunia ini, tetapi hanya sekadar seperlunya sahaja agar fikirannya tenang, kedudukannya teguh dan jasmaninya sihat untuk berbakti kepada Allah S.W.T dan berbuat kebaikan terhadap sesama manusia. Yang menjadi tujuan utamanya ialah menikmati hidup akhirat yang kekal abadi kelak. Namun, perlu diingat bahawa, jangan kita terburu membakar jambatan tersebut kerana kelak arang jambatan itu akan terpalit ke muka kita sendiri.

Ketiga: Kaum Muslimin yang menjadikan dunia ini sebagai penjara hidup.
Bagi golongan ini pula, mereka tidak mahu tahu atau menikmati langsung nikmat yang ada di dunia ini. Seluruh hidupnya semata-mata untuk berbakti dan beramal secara terus menerus. Sehinggakan, mereka ini tidak ada masa langsung untuk bermanja dan bergaul dengan anak isteri masing-masing. Mereka rela hidup melarat di dunia ini yang sudah di anggap seperti penjara. Manusia seperti inilah yang sebenarnya telah mensia-siakan peluang hidupnya yang cuma sekali sahaja.

Dari sikap hidup yang tiga itu, maka pilihan yang tepat bagi seorang mukmin ialah cara hidup yang kedua, iaitu menjadikan dunia ini sebagai jambatan hidup untuk ke akhirat. Golongan kedua ini tidak bersikap bodoh dan jumud terhadap kenikmatan dunia, malah diusahakan agar mendapat hidup yang sempurna, memiliki rumah besar, kenderaan mewah, tanah yang banyak dan lain-lain harta lagi dengan cara yang diredhai Allah S.W.T. Selain itu, mereka juga menggunakan harta yang ada untuk membantu golongon Muslimin lain yang lebih memerlukan. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup umat Islam secara amnya.
Dalam hadis Qudsi, Allah S.W.T telah berfirman kepada dunia;

“Wahai dunia, berkhidmatlah kamu kepada orang-orang yang telah berkhidmat kepada-Ku, dan perhambakanlah orang-orang yang mengabdikan dirinya kepadamu.”                                                 (Diriwayatkan oleh Imam al-Qudha’i)

Namun, perlu diingat bahawa semua nikmat di dunia yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita hanyalah sebagai jambatan ataupun batu loncatan untuk menguatkan hati kita dalam berbakti dan beramal agar mendapat makrifah dan keredhaan Allah S.W.T di akhirat kelak.

Untuk itu, jadikanlah dunia ini berlutut kepada kita, dan janga pula kita berlutut kepadanya (menjadi hamba dunia).

No comments:

Post a Comment